Saturday, September 20, 2008

Tamar - Antara Khasiatnya

Tamar atau kurma boleh membantu menghalang seseorang dari mengambil makanan berlebihan di waktu iftar atau berbuka puasa. Buah Tamar kaya dengan kandungan gula yang mudah hadam. Kandungan gula yang rendah di dalam darah merupakan faktor yang membuat seseorang terasa begitu lapar sewaktu berbuka. Melewatkan pengambilan makanan sekurang-kurangnya tempoh diantara mula mengambil kurma dan menghabiskan solat Maghrib , merangsang penambahan kandugan gula di dalam darah. Proses ini akan mengakibatkan pengamal sunnah ini, berasa cepat kenyang, walaupun dengan mengambil sedikit makanan selepas solat Maghrib.

sumber : Levene, Malcolm. "Sugar an effective Pain killer for babies" British Medical Journal (1995) ... Islam Online 19hbSept2008.

Thursday, September 18, 2008

Ramadan Penuh Keberkatan buat Permata Camar

Belum pun menjangkau minggu kedua Ramadan, majlis berbuka puasa bersama anak-anak Permata Camar di asrama Permata Camar, tahun ini habis ditempah. Bermula dari hari pertama berpuasa sehinggalah hari ke 25 Ramadan, anak-anak Permata Camar akan dirai dengan suasana yang begitu meriah.
Tidak sedikit yang terkilan, kerana tidak kesampaian untuk menganjurkan program iftar bersama Permata Camar. Mungkin kerana ramai yang sedar akan besarnya ganjaran dari Allah SWT bagi mereka yang memberi makan kepada mereka yang berpuasa, apatahlagi yang bakal dirai, merupakan anak-anak yatim dari keluarga miskin dan daif.
Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, apabila anak-anak Camar sering mendapat jemputan berbuka puasa diorganisasi-organisasi yang besar , dirai dan ditatang di hotel yang ternama, Permata Camar telah memutuskan program berbuka puasa tahun ini, hanya diadakan di asrama Permata Camar sendiri.
Kesederhanaan berbanding berbuka di hotel nyata tidak sedikit pun mengurangkan kemeriahan. Kedatangan organisasi-organisasi serta firma seperti MTBE, BASF-Petronas, Tourism Malaysia, dan Universiti Islam Antarabangsa untuk berbuka di asrama penghuni Permata Camar, memberi pendedahan secukupnya kepada pengunjung serta kesempatan memahami hidup anak-anak yang menumpang kasih di institusi yang digelar Permata Camar.
Meskipun sumbangan materi berbentuk wang ringgit , pakaian raya dan kelengkapan keperluan menjadi bait-bait pengumpan untuk meringankan beban tangungan anak-anak dibawa bersama bagi menghias program kedatangan mereka, namun di akhir pertemuan, mereka sedar, kasih sayang yang sempat diluah dalam jangka masa sesingkat menjamu juadah, lebih menyentuh hati anak-anak.
Moga-moga sama-sama mendapat keberkatan daripada Allah SWT, dan demi kasih sayang terhadap anak-anak kami akan menjemput mereka mengunjungi kembali.

Tuesday, September 2, 2008

Engkau Isteri

Seorang wanita lewat 4o'an, duduk sugul di sebuah kerusi plastik putih. Sebentar bangun membetulkan duduk seorang lelaki dalam usia awal 50'an. Sebentar mengurut belakang lelaki tersebut yang nyata nampak uzur, jauh lebih uzur dari hakikat umurnya.

Wanita tersebut sudah 11 hari menemani suaminya. Cuma cemasnya kini kurang, kerana sebelum ini si Suami terlantar tidak sedar selama 3 hari.

Namun kunjungan kami disambut senyum girang air mukanya, namun gundah dihati wanita ini hanya Alah SWT dan dirinya saja yang tahu.

Si Suami mengalami penyakit diabetes hampir 13 tahun. Pergelangan kakinya sehingga ke hujung jari tampak hitam kesan penyakit yang semakin kritikal. Tidak cukup dengan sengsara penyakit kencing manis ini, 3 tahun yang lepas, si Suami didiagnos sebagai penghidap darah tinggi.

Namun kekerapannya dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan sebanyak 3 kali dalam masa 2 bulan yang lepas bukan kerana kedua-dua penyakit itu tadi, malah si Suami sudah menunjukkan bibit-bibit gagal fungsi buah pinggang.

Si Suami sebelum ini berkerja menangkap ikan serta isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa. Apalah yang diharapkan sangat dari rezeki yang tidak seberapa. Namun dia serta keluarga sentiasa pasrah dengan untung nasibnya.

Nikmat kesihatan kurnia Ilahi antara nikmat yang besar yang harus kita timba peluang semasa adanya. Tetapi kita makhluk Allah sering terlupa akan peringatan-peringatan yang diberi. Kita lupa sihat kita sebelum sakit. Kita lepaskan peluang muda kita untuk beramal sebelum tua. Kita sentiasa bermegah dengan kekayaan sedangkan kemiskinan boleh datang pada bila-bila masa. Kita sentiasa mensia-siakan kelapangan masa hanya untuk sedar bahawa kesempitan sudah diambang muka. Dan kunjungan malaikat maut membawa mesej mati baru menyedarkan bahawa seabad hidup kita sia-sia, kita mohon sedikit masa lagi agar kita dapat bertaubat dan melakukan amal sehabis mampu kita.

Moga-moga di bulan Ramadan yang mulia ini, dapat menyedarkan kita.

Si Suami tadi menanti kekuatan kembali, entah beliau sendiri tidak tahu bila. Beliau memerlukan pembedahan fistula ( pembedahan kecil membuka pembuluh darah bagi memasukkan tiub untuk tujuan pengaliran darah dari tubuh pesakit ke mesin dialisis yang akan bertindak menggantikan fungsi buah pinggang yang gagal) , dan pembedahan ini harus dilakukan segera. Namun si Suami tidak mampu, kerana untuk bangun pun seperti memerlukan kekuatan seekor gajah mammoth untuk mengangkat tubuh yang semakin hari semakin menipis.

Tidak cukup dengan sengsara sakit, beliau tidak mampu untuk mendapatkan khidmat pembedahan di Kuantan, kerana kos fistula di hospital swasta menelan belanja RM 1200 bagi khidmat bedah kecil selama 60 minit. Alternatifnya beliau terpaksa ke hospital Temerloh dengan caj RM70.

Tidak cukup dengan sengsara yang ada, beliau dijanjikan dengan talian hayat dengan caj RM110 bagi setiap rawatan dialisis yang diperlukan sebanyak 12 kali dalam sebulan.

Si Isteri sebelum ini bekerja mengambil upah sebagai pembantu rumah dengan pendapatan RM400 sebulan. Baginya cukup untuk menampung sara hidup dirinya serta suami. Namun apakan daya, sudahlah terpaksa berhenti kerja kerana terpaksa menjaga suami, kos keseluruhan khidmat dialisis suaminya nanti berjumlah RM1320 sebulan menjadi tandatanya bagi dirinya.

Tetapi demi suami yang selama ini menjadi pembela hidupnya , si Isteri mengharung susah meninggalkan nikmat hidup entah sampai bila.

Mungkin dalam kekalutan hidup atau semasa sihatnya mungkin pernah terfikir untuk mengambil polisi takaful yang ceritanya hebat membela pencarum yang bakal ditimpa pelbagai penyakit yang kronik . Tetapi apalah daya si Suami, yang belanja makan pakai pun kadang-kadang tidak cukup semasa sihatnya. Apatah lagi untuk mencarum sejumlah habuan kerja bagi membayar beban caruman bulanan takaful.

Kini si Suami hanya berserah kepada Allah, sentiasa berdoa agar diberikan kesempatan untuk mengharungi sisa-sisa hidup dan isterinya sebagai teman yang tiada galang ganti. Baginya si Isteri merupakan takaful yang carumannya sudah dilangsaikan semasa sihatnya. Namun sentiasa mengharap simpatis dari hatibudi yang tidak tahu sampai bila, dari seorang wanita yang digelar isteri.

Berapa ramai lagi insan-insan seperti si Suami , yang sisa hidupnya dipenuhi sengsara tragis, dan yang sentiasa mengiringinya, hanyalah Allah dan tangisan serta teman seorang isteri.

25 Sukarelawan ikuti Program Ziarah

Sabtu 30hb Ogos 2008, unit Qudwah , Badan Nadwah Islamiah Pahang, atau Nadwah berjaya menganjurkan program ziarah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
AlhamduliLlah ditengah-tengah kesibukan menjelang sambutan kemerdekaan dan awal Ramadan, lebih kurang 25 sukarelawan dan kakitangan Nadwah telah bersama-sama menjayakan program tersebut.
Meskipun ziarah tersebut agak ringkas, tetapi ternyata memberi kesan yang dalam, bukan sahaja kepada pesakit yang diziarahi, tetapi bagi sukarelawan-sukarelawan yang terlibat.
Sekurang-kurangnya ziarah tersebut dapat memberi kesedaran kepada kita, agar kita insaf bahawa kesihatan yang baik merupakan nikmat dari Allah SWT .
Kepada sukarelawan yang hadir, sekalung tahniah. Moga-moga usaha ini diteruskan dengan lebih banyak penglibatan.

Moga-moga Amalan Bertambah, Ramadhan ini.

"Diriwayatkan dari Urfujah, ia berkata : Aku berada di tempat 'Uqbah bin Furqad, maka masuklah ke tempat kami seorang dari Sahabat Nabi saw. ketika Utbah melihatnya ia merasa takut padanya, maka ia diam. ia berkata: maka ia menerangkan tentang puasa Ramadan ia berkata : Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda tentang bulan Ramadan: Di bulan Ramadan ditutup seluruh pintu Neraka, dibuka seluruh pintu Jannah, dan dalam bulan ini Setan dibelenggu. Selanjutnya ia berkata : Dan dalam bulan ini ada malaikat yang selalu menyeru : Wahai orang yang selalu mencari/ beramal kebaikan bergembiralah anda, dan wahai orang-orang yang mencari/berbuat kejelekan berhentilah ( dari perbuatan jahat) . Seruan ini terus didengungkan sampai akhir bulan Ramadan." (Riwayat Ahmad dan Nasai )

Monday, September 1, 2008

Konsert Avril Lavigne - Apa Kata Mufti Lain ?


Berikut merupakan kenyataan Mufti Kerajaan Perlis, Dr Asri bin Zainal Abidin

“Amat tidak wajar bagi pihak yang meluluskan konsert Avril Lavigne yang boleh menyumbang kepada unsur-unsur negatif kepada muda-mudi di negara ini. Penganjuran konsert ini menunjukkan ketidakprihantinan yang serius terhadap masalah keruntuhan moral yang sedang berlaku dalam negara ini”

Mufti lain bagaimana?

Dipetik dari http://drmaza.com