Tuesday, September 2, 2008

Engkau Isteri

Seorang wanita lewat 4o'an, duduk sugul di sebuah kerusi plastik putih. Sebentar bangun membetulkan duduk seorang lelaki dalam usia awal 50'an. Sebentar mengurut belakang lelaki tersebut yang nyata nampak uzur, jauh lebih uzur dari hakikat umurnya.

Wanita tersebut sudah 11 hari menemani suaminya. Cuma cemasnya kini kurang, kerana sebelum ini si Suami terlantar tidak sedar selama 3 hari.

Namun kunjungan kami disambut senyum girang air mukanya, namun gundah dihati wanita ini hanya Alah SWT dan dirinya saja yang tahu.

Si Suami mengalami penyakit diabetes hampir 13 tahun. Pergelangan kakinya sehingga ke hujung jari tampak hitam kesan penyakit yang semakin kritikal. Tidak cukup dengan sengsara penyakit kencing manis ini, 3 tahun yang lepas, si Suami didiagnos sebagai penghidap darah tinggi.

Namun kekerapannya dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan sebanyak 3 kali dalam masa 2 bulan yang lepas bukan kerana kedua-dua penyakit itu tadi, malah si Suami sudah menunjukkan bibit-bibit gagal fungsi buah pinggang.

Si Suami sebelum ini berkerja menangkap ikan serta isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa. Apalah yang diharapkan sangat dari rezeki yang tidak seberapa. Namun dia serta keluarga sentiasa pasrah dengan untung nasibnya.

Nikmat kesihatan kurnia Ilahi antara nikmat yang besar yang harus kita timba peluang semasa adanya. Tetapi kita makhluk Allah sering terlupa akan peringatan-peringatan yang diberi. Kita lupa sihat kita sebelum sakit. Kita lepaskan peluang muda kita untuk beramal sebelum tua. Kita sentiasa bermegah dengan kekayaan sedangkan kemiskinan boleh datang pada bila-bila masa. Kita sentiasa mensia-siakan kelapangan masa hanya untuk sedar bahawa kesempitan sudah diambang muka. Dan kunjungan malaikat maut membawa mesej mati baru menyedarkan bahawa seabad hidup kita sia-sia, kita mohon sedikit masa lagi agar kita dapat bertaubat dan melakukan amal sehabis mampu kita.

Moga-moga di bulan Ramadan yang mulia ini, dapat menyedarkan kita.

Si Suami tadi menanti kekuatan kembali, entah beliau sendiri tidak tahu bila. Beliau memerlukan pembedahan fistula ( pembedahan kecil membuka pembuluh darah bagi memasukkan tiub untuk tujuan pengaliran darah dari tubuh pesakit ke mesin dialisis yang akan bertindak menggantikan fungsi buah pinggang yang gagal) , dan pembedahan ini harus dilakukan segera. Namun si Suami tidak mampu, kerana untuk bangun pun seperti memerlukan kekuatan seekor gajah mammoth untuk mengangkat tubuh yang semakin hari semakin menipis.

Tidak cukup dengan sengsara sakit, beliau tidak mampu untuk mendapatkan khidmat pembedahan di Kuantan, kerana kos fistula di hospital swasta menelan belanja RM 1200 bagi khidmat bedah kecil selama 60 minit. Alternatifnya beliau terpaksa ke hospital Temerloh dengan caj RM70.

Tidak cukup dengan sengsara yang ada, beliau dijanjikan dengan talian hayat dengan caj RM110 bagi setiap rawatan dialisis yang diperlukan sebanyak 12 kali dalam sebulan.

Si Isteri sebelum ini bekerja mengambil upah sebagai pembantu rumah dengan pendapatan RM400 sebulan. Baginya cukup untuk menampung sara hidup dirinya serta suami. Namun apakan daya, sudahlah terpaksa berhenti kerja kerana terpaksa menjaga suami, kos keseluruhan khidmat dialisis suaminya nanti berjumlah RM1320 sebulan menjadi tandatanya bagi dirinya.

Tetapi demi suami yang selama ini menjadi pembela hidupnya , si Isteri mengharung susah meninggalkan nikmat hidup entah sampai bila.

Mungkin dalam kekalutan hidup atau semasa sihatnya mungkin pernah terfikir untuk mengambil polisi takaful yang ceritanya hebat membela pencarum yang bakal ditimpa pelbagai penyakit yang kronik . Tetapi apalah daya si Suami, yang belanja makan pakai pun kadang-kadang tidak cukup semasa sihatnya. Apatah lagi untuk mencarum sejumlah habuan kerja bagi membayar beban caruman bulanan takaful.

Kini si Suami hanya berserah kepada Allah, sentiasa berdoa agar diberikan kesempatan untuk mengharungi sisa-sisa hidup dan isterinya sebagai teman yang tiada galang ganti. Baginya si Isteri merupakan takaful yang carumannya sudah dilangsaikan semasa sihatnya. Namun sentiasa mengharap simpatis dari hatibudi yang tidak tahu sampai bila, dari seorang wanita yang digelar isteri.

Berapa ramai lagi insan-insan seperti si Suami , yang sisa hidupnya dipenuhi sengsara tragis, dan yang sentiasa mengiringinya, hanyalah Allah dan tangisan serta teman seorang isteri.

No comments: