Thursday, September 18, 2008

Ramadan Penuh Keberkatan buat Permata Camar

Belum pun menjangkau minggu kedua Ramadan, majlis berbuka puasa bersama anak-anak Permata Camar di asrama Permata Camar, tahun ini habis ditempah. Bermula dari hari pertama berpuasa sehinggalah hari ke 25 Ramadan, anak-anak Permata Camar akan dirai dengan suasana yang begitu meriah.
Tidak sedikit yang terkilan, kerana tidak kesampaian untuk menganjurkan program iftar bersama Permata Camar. Mungkin kerana ramai yang sedar akan besarnya ganjaran dari Allah SWT bagi mereka yang memberi makan kepada mereka yang berpuasa, apatahlagi yang bakal dirai, merupakan anak-anak yatim dari keluarga miskin dan daif.
Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, apabila anak-anak Camar sering mendapat jemputan berbuka puasa diorganisasi-organisasi yang besar , dirai dan ditatang di hotel yang ternama, Permata Camar telah memutuskan program berbuka puasa tahun ini, hanya diadakan di asrama Permata Camar sendiri.
Kesederhanaan berbanding berbuka di hotel nyata tidak sedikit pun mengurangkan kemeriahan. Kedatangan organisasi-organisasi serta firma seperti MTBE, BASF-Petronas, Tourism Malaysia, dan Universiti Islam Antarabangsa untuk berbuka di asrama penghuni Permata Camar, memberi pendedahan secukupnya kepada pengunjung serta kesempatan memahami hidup anak-anak yang menumpang kasih di institusi yang digelar Permata Camar.
Meskipun sumbangan materi berbentuk wang ringgit , pakaian raya dan kelengkapan keperluan menjadi bait-bait pengumpan untuk meringankan beban tangungan anak-anak dibawa bersama bagi menghias program kedatangan mereka, namun di akhir pertemuan, mereka sedar, kasih sayang yang sempat diluah dalam jangka masa sesingkat menjamu juadah, lebih menyentuh hati anak-anak.
Moga-moga sama-sama mendapat keberkatan daripada Allah SWT, dan demi kasih sayang terhadap anak-anak kami akan menjemput mereka mengunjungi kembali.

No comments: