Sunday, August 24, 2008

Kunjungan Johor Corp Memecah Kesunyian

Kebiasaannya, asrama Penempatan Anak-anak Yatim Nadwah - Permata Camar sibuk dengan kegiatan serta suara-suara anak-anak yang menghuni asrama tersebut. Kehadiran Permata Camar di tengah-tengah kampung Sri Chempaka, Penor, Kuantan, sedikit sebanyak mendatangkan keceriaan serta menambah kesibukan di kawasan kampung di pinggir kota metropolitan Kuantan, ini.

Pagi lebih awal bermula, dengan kedengaran suara gurauan anak-anak diselangseli suara orang mengaji sementara menunggu azan Subuh. Selepas menunaikan solat subuh secara berjemaah yang diimamkan oleh warden yang menjadi pengasuh anak-anak ini, masing-masing mencapai senaskhah al Quran membaca, menghafal dan memahami surah-surah agar dapat dibuat pedoman dan rujukan hidup selaku insan Muslim yang harus ada hati budi serta syaksiah yang tinggi untuk menaikkan mertabat harga diri, tunduk dan patuh sebagai hamba Illahi dan khalifah di muka bumi.

Namun tidak kurang juga yang tewas, terlintuk menyandar menampung dinding dan tiang-tiang kayu yang menjadi tunggak mussola sementara asrama Permata Camar. Mungkin malam tadi terlewat tidur .

Setelah siap berpakaian sekolah anak-anak ini berkesempatan mengambil sarapan sebagai pengalas perut dengan apa rezki yang ada, dari kurnia Illahi melalui sumbangan yang sentiasa mengunjung institusi kecil ini.

Sebelah petang selepas sekolah, anak-anak ini aktif bermain dengan pelbagai permaianan riadhah agar tubuh badan segar sihat serta minda mekar berkembang . Pokoknya sehari suntuk asrama Permata Camar dipenuhi aktiviti-aktiviti yang sentiasa menceriakan suasana persekitaran.

Berlainan pula dengan minggu yang baru lalu. Institusi kecil yang sentiasa mekar dengan keceriaan tiba-tiba sepi tanpa penghuni. Hampir seminggu asrama Permata Camar hilang ceria hilai ketawa sepi dari suara anak-anak. Azan yang berkumandang hampir setiap waktu solat, tidak kedengaran. Malah suara sayup kanak-kanak membaca al quran diwaktu pagi yang hening sudah tiada. Saat ini dirasakan kekosongan...

Rupa-rupanya kekosongan ini hanya sementara. Anak-anak Camar mula kembali ke asrama pada petang hari Jumaat. Keesokannya keriuhan mula terasa. Sekembali dari bercuti, penghuni asrama Permata Camar menyambung semula kehidupan rutin anak-anak Camar yang kasih sayang mereka banyak bergantung kepada warden-warden asrama atau ustaz-ustaz yang menjaga mereka. Kedatangan pelawat sedikit sebanyak menceriakan. Namun kasih sayang yang mereka perolehi tidak dapat menandingi kasih sayang yang kita luahkan kepada anak-anak kita sendiri.

Hidup menumpang kasih. Hanya Allah pelengkap sebagai penjaga anak-anak yang makan pakainya sekadar termampu tetapi daif dari penerimaan kasih sayang.

Pada petang Sabtu 23hb Ogos 2008, Permata Camar menerima kunjungan dari syarikat gergasi tempatan Johor Corporation. Sebuah konglomerat yang tidak asing lagi dipersada perniagaan di Malaysia, perniagaan syarikat tersebut termasuk di dalam bidang-bidang perladangan, aktiviti pengurusan pelaburan, industri berat, pembangunan dan pembinaan , perkhidmatan hospital dan perubatan dan bermacam-macam lagi.

Namun J Corp tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosial di dalam membantu menaikkan taraf hidup serta membantu ahli masyarakat yang memerlukan. Ini termasuk penglibatuan syarikat tersebut didalam menyediakan bantuan menubuhkan pusat hemodialisis, sekolah-sekolah agama rakyat, klinik masyarakat dan rumah anak yatim. ( sekadar membariskan sebahagian)

Kunjungan 15 orang wakil daripada J Corp,telah diketuai oleh Puan Norlaila Yahya, isteri kepada Ketua Pegawai Operasi (COO) serta beberapa ketua serta pengurus anak syarikat Johor Corporation sendiri.

Meskipun lawatannya agak singkat, kunjungan tersebut telah membawa seribu makna kepada pengurusan Permata Camar serta Badan Nadwah Islamiah Pahang. Meskipun kecil dana kewangan berbanding J Corp, dari segi sumbangan serta gerak kerja kebajikan, Nadwah berhasrat untuk bergerak setanding dengan syarikat gegasi ini. InsyaaLlah.

Tetamu telah diraikan dengan jamuan di akhir lawatan. Pengunjung juga telah sempat untuk bergambar serta bermesra dengan anak-anak Camar. Memecah kensunyian yang selama seminggu menyelubungi institusi ini.

Saturday, August 23, 2008

Surau Permata Camar Siap 90%


23hbOgos 2008 , pembinaan surau Permata Camar menjangkau kemajuan 90%. Meskipun tarikh penyempurnaan sebagimana kontrak adalah pada 20hb Ogos 2008, kerja-kerja menyiapakan masih rancak dijalankan.

Kelewatan penyempurnaan oleh kontraktor banyak disumbang oleh perkara-perkara berikut ;
Kenaikan kos barangan akibat dari kenaikan harga minyak.
Kelewatan pihak Permata Camar didalam menyediakan bahan-bahan binaan.
Ketelitian pihak Permata Camar didalam memastikan kualiti pembinaan.
Kurang penyeliaan di pihak kontraktor ke atas pekerja-pekerja pembinaan.

Menyedari kelemahan-kelemahan berikut, pihak kontraktor telah diminta untuk mempergiatkan serta menambah tenaga kerja agar kelewatan dapat diminimakan. Ekoran daripada teguran jawatankuasa pembinaan Permata Camar serta perbincangan dengan pihak kontraktor, kontraktor telah mengemukakan satu pelan contingency .

AlhamduliLlah, sehingga ke tarikh ini, kelewatan yang dijangka dapat diminimakan. Surau Permata Camar dijangka dapat digunakan selewat-lewatnya pada minggu pertama Ramadhan, InsyaLlah.

Surau Permata Camar - Kami Mohon Maaf

20hb Ogos 2008, genap 17 minggu tempoh kontrak, tempoh masa yang diberikan kepada kontraktor bertanggungjawab bagi menyiapkan pembinaan surau Permata Camar. Malangnya pada tarikh tersebut, masih banyak lagi kerja-kerja yang masih belum siap. Mana silapnya?

Walaupun sebelum ini kita begitu yakin, pembinaan tersebut boleh disiapkan lebih awal daripada tempoh penyempurnaan, atas alasan mengejar kesempatan untuk digunakan pada awal Ramadhan, tapi nyata jangkaan serta telahan kita meleset.

Kita merencana dan Allah merencana. Dan Allah itu sebaik-baik perencana.

Meskipun kita terima hakikat ini, tetapi kami di dalam jawatankuasa pembangunan , merasakan sekadar menyerah keapada kehendak Ilahi tanpa merujuk kesilapan serta menanggungi akibat bukan cara kami berkhidmat untuk Islam.

Walaupun kini belum masanya bagi kita untuk menilai keberkesanan tindakan kami dengan menjalankan post mortem, agar kesilapan yang lalu tidak kami ulangi, namun kami ingin memastikan kesilapan ini dapat dibuat koreksi sesegera mungkin agar kelewatan ini dapat diminimakan.

Kami memohon maaf . Moga di awal Ramadhan tahun ini kami sempat bemuhasabah di dalam surau yang siap dibina terlewat kerana kesalahan kami...

Monday, August 11, 2008

Bila Ahli Persatuan Buddha dan Gereja Katholik Lebih Berjurus

Misionari Kristian merupakan satu gerakan tersusun yang jalankan oleh pendakwah-pendakwahnya untuk memberi penerangan serta mengambil hati pendengar , agar akhirnya yang mendengar dapat ditakluki. Gerakan misionari ini telah dijalankan sejak berzaman lagi. Ia merupakan kesinambungan gerakan pendakwah kristian di dalam memenangi hati manusia seluruh dunia.

Meskipun gerakan missionari ini telah lama ujud (sejak selepas Jesus Christ) , pendekatan yang digunakan sentiasa diperbaharui mengikut perkembangan masa serta situasi. Penaklukan Portugis ke atas pemerintahan Kerajaan Melaka sebenarnya merupakan titik mula masuk pengaruh ini di Nusantara umumnya, serta Tanah Melayu khususnya.

Bibit pensekularan, memisahkan agama dengan persoalan hidup yang lain, menjadi agenda awal gerakan missionari ini untuk mempengaruhi masyarakat Melayu yang sebelum kemasukan Portugis amat bertaut rapat dengan nilai-nilai keIslaman.

Pengaruh Missionari ini bukan satu fenomena baru yang menghimbau orang-orang Melayu sehingga menimbulkan kegusaran yang amat, serta mendorong satu tindakan yang drastik secara tiba-tiba. Berita mengenai ramainya pemuda-pemudi Melayu yang ingin bertukar agama daripada agama Islam yang diwarisi secara kelahiran, merupakan buih-buih air bah, yang sedikit nampak diatas, tetapi yang dibawah yang tidak nampak dimata, lebih mengerunkan.

Tidak cukup dengan deklarasi bertukar agama ke Kristian, gejala murtad sebenarnya berlaku bukan hanya ke arah Doktrin Triniti , tuhan - 3 dalam satu, malah agama Hindu serta Budhha yang kita tahu gerakannya tidak aktif dikalangan masyarakat Melayu.

Adakah kita menyedari ataupun tidak, keghairahan pemuda-pemudi Melayu Islam untuk meninggalkan Islam sebenarnya adalah kerana kelemahan kita sendiri , berbanding dengan tarikan dari missionari agama lain . Pendidikan agama yang berterusan atau satu sistem Ta'dib yang tersusun sebenarnya sudah lama diabaikan secara sengaja ataupun tidak. Evolusi yang merungkaikan Ketauhidan Allah SWT daripada kandungan sistem pendidikan atas nama kemerdekaan, modenisasi dan industrialisasi kini menampakkan hasil yang menghiris hati-hati Umat Islam yang masih kuat berpegang kepada norma-norma Islam.

Cukuplah kalau kita ingin bicara soal merubah minda mengalih paradigma dengan berforum, berseminar, Multaqa atau muqabalah kalau sekadar menyusun kertas kerja, menghangguk kepala, berkerut dahi serta menyusun ayat mengindahkan resolusi, sekadar dijadikan latihan minda bukan untuk direalisasi.

Bukan bosan atau keciwa. Kerana Islam mengajar kita agar jangan cepat bersedih dan keciwa dangan kegagalan. Kita bangkit kita pertahankan. Tapi yang kita takut, kita hanya jadi bahan tertawa, Kita pandai mendabik dada tapi soal yang kecil pun tidak dapat terlaksana.

Nah dalam diam para misionari, pengusung kavadhi dan penganut amitabha Buddha menghampiri jiwa-jiwa yang mengharap belas dan simpati. Membuai semangat mereka-mereka yang uzur yang sentiasa menanti di rumah rumah sakit merupakan satu tindakan yang paling mudah. Dengan fizikal yang dikunjung hampir gagal fungsi serta sensitiviti emosi memerlukan dorongan, mengunjungi atau menziarahi jiwa-jiwa seperti ini memberi impak yang terkesan lagi dalam.

Tidak kairanlah gerakan misionari Kristian serta Budhha sering melakukan kunjungan-kunjungan ke hospital-hospital menziarahi pesakit atas nama kemanusiaan
dan rasa perihatin. Kerana mereka tahu dalam jiwa-jiwa yang kadang-kadang terasa kekosongan, dengan megorak senyuman serta bertanya khabar sudah cukup membuat pesakit
terhibur dan merasakan dirinya mendapat belas dan simpati.

Amat terkilan rasanya , bila ada usaha-usaha untuk kebajikan Umat Islam, tidak dapat dilaksana kerana tiada yang sanggup bersama.

Waima apapun alasan yang dicari untuk melepas diri, kita tidak terlepas dari tanggungjawab kita sebagai Umat Islam yang bersaudara ibarat dicubit peha kiri yang kanan pun terasa.

Amat malang rasanya jika kita Umat Islam yang berbekalkan pedoman al Quran dan pesanan RasuluLLah yang banyak menyuruh kita agar lebih perihatin terhadap insan-insan yang susah, miskin, tidak upaya dan kurang bernasib baik, tetapi yang melaksanakan adalah orang lain .

Marilah kita bersama-sama melaksanakan tanggungjawab kita. Menziarahi saudara-saudara kita yang terlantar sakit di hospital-hospital, mengajak rakan-rakan serta keluarga bersama . Cukuplah berbekalkan Air Mineral sebotol sebagai pembasah tekak agar pesakit dapat melembutkan lidah terus berzikir menyebut nama Allah. Beberapa biji kurma, agar pesakit terasa nikmat kemanisan kurma sebagaimana nikmat kemanisan Iman. Sebiji epal dan oren agar pesakit dapat merenung berfikir sejenak betapa hebatnya ciptaan dan Kekuasaan Allah.

Biarlah para missionari ini datang berbekalkan janji-janji serta habuan cenderahati yang mahal-mahal harganya. Kerana kita tidak mampu untuk menandingi mereka ,apatahlagi Islam tidak mengajar pengikutnya untuk membeli hati-hati manusia dengan wang ringgit serta habuan dunia.

Tetapi jangan sampai kita keciwa, bila mana ada orang Islam yang sanggup menggadai agama semata-mata kerana sekuntum senyuman yang tiada nilai harga. Cuma kerana mereka para missionari, pendukung kavadhi dan pengikut amitabha Buddha lebih berjurus daripada kita umat Islam yang hanya pandai berkata tetapi satu pun tidak ada.

Tahukah saudara, belum pun sempat saudara membaca habis tulisan ini, sekurang-kurang 1 orang Islam dari seluruh dunia sudah pun meninggalkan agama. Mungkin kerana hanya sekadar senyuman.

Wednesday, August 6, 2008

Kali ini Giliran TV3


AlhamdulilLah. Akhir-akhir ini Penempatan Anak-Anak Yatim Nadwah - Permata Camar sering dikunjungi dan di raikan oleh warga-warga korporat serta organisasi-organisasi yang perihatin terhadap perkembangan Permata Camar itu sendiri.
Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua Permata Camar yang diuruskan oleh Badan Nadwah Islamiah ,Pahang (NADWAH) dapat terus berkembang di dalam misi memikul tanggung jawab dan kewajipan untuk mengumpul serta mengerakkan umat Islam agar lebih sensitif terhadap permasalahan kemiskinan serta kemanusiaan.
Pemberian sumbangan cek bernilai RM10,000 daripada Dana Bersama Mu , salah satu program TV3, kepada Permata Camar sekaligus merupakan satu pengiktirafan oleh masyarakat umumnya dan TV3 khususnya ke atas kewujudan penempatan anak-anak Yatim ini.
Kesempatan ini juga membuka peluang kepada Permata Camar untk lebih dikenali bukan hanya oleh masyarakat Kuantan, tetapi juga seluruh Malaysia.
Kepada warga TV3, kami ingin mengucapkan terima kasih daun keladi. Moga-moga lain kali dapat lagi.

Sunday, August 3, 2008

Antara Rumah Besar Mewah dan Pondok Lusuh di atas Tanah Tumpang - Bhg 1

Satu pagi Isnin, disebuah rumah mewah, si ayah duduk menyandar menikmati cerut Havana ditepi kolam mandi, menghidu udara pagi .Kadang-kadang kedinginan, angin pendingin udara dari bilik bersebelahan, yang pintunya sengaja dibiar renggang.

Disampingnya, si Ibu muda sibuk menyiapkan diri dengan pakaian dari sutera, kadang-kadang mengerlip, terkena cahaya mentari pagi dicelah-celah rimbun pokok bunga bourganvilla yang dihias rapi menyempadani pagar rumah.

Masing-masing sibuk . Si Ayah ingin bergegas ke tempat kerja bukan kerana tugas menimbun yang perlu diambil kira. Tetapi jam sepuluh ada temujanji di Royal Golf Club, yang keahliannya boleh membeli rumah teres kos sederhana dipinggiran kawasan rumah mewah berpagar.

Supirnya sibuk menyusun batang-batang golf ke dalam kenderaan pacuan 4 roda berjenama, kelu lidah bila ingin menyebutnya, kerana tidak biasa. Enjinnya sudah lama dihidupkan. Menderu angin sepoi dari pendingin udara semakin melembutkan tempat duduk bersampul kulit lembu jenis Obermain lader buatan Jerman.

Si Ibu mencapai beg tangan hitam bertompokkan warna perang muda, tersusun kemas huruf Gucci. Ditangan yang sebelah, sebingkas kunci kereta BMW 3 series yang pecutannya cukup mampu mengejar masa, walaupun temujanjinya sekitar jarak 12km hanya tinggal lima minit . Tetapi hari ini siibu sibuk untuk menghadiri mesyuarat NGO, untuk membincangkan program hujung minggu yang tamunya dari kerabat Raja.

Si Ayah dan si Ibu lega, kesemua anak warisnya 2 lelaki dan seorang perempuan sudah kesekolah . Semuanya diuruskan oleh seorang lagi pemandu yang juga tukang kebun, yang sentiasa perihatin mana saja pokok yang tidak mampu berbunga dek kekurangan baja. Sebentar akan tiba dengan MPV Alphard yang hampir hodoh rupa dan saiznya, dengan bekalan pasar buat sampai hujung minggu. Sudah menjadi rutin, selepas menghantar tuan-tuan muda, terus ke pasar memilih ration untuk juadah yang pasti membuka selera.

Pagar otomatik tertutup rapat , menjadi penghalang untuk memasuki rumah besar mewah yang temboknya dari batu granit tidak kikis yang sentiasa tampak mahal dengan kilaunya. Dindingnya dari batu sintetik halus disusun rapi menghiasi hampir separuh ketinggian rumahnya. Pintu , tingkapserta bingkainya dari kayu kelas satu yang ditempah dari sawmill kepunyaan rakannya.

Hebat. Berdiri tegap banglo besar 9 bilik yang penghuninya hanya lima, bertemankan pekerja yang mengambil upah meringankan beban kerja rumah siibu dan siayah.

Dihari dan waktu yang sama, di sebuah rumah pondok ,seorang ibu duduk berlutut mencuri nafas lega melepaskan lelah. Kadang-kadang terhidu bau busuk longgokan sampah dari longkang monsoon tersumbat yang menyempadani rumahnya.

Dengan pakaian lusuh tidak sempat kering keringat, kadang-kadang terhidu bau hapak yang bagi si Ibu sudah menjadi sebahgian udara yang menanggung keperluan gerak nadi jantungnya.

Baginya masa sangat berharga. Dengan tugas harian yang tidak pernah pupus dan lega, si Ibu menyediakan bungkus-bungkus nasi lemak serta kuih untuk berjaja, menumpang di kakilima sebuah hypermarket milik jutawan Perancis.

Untungnya, sekadar dapat membeli bekal makanan harian pagi hingga ke senja untuk santapan diri dan anak-anak yang lima. Baginya cukup puas, AlhamduliLlah..

Baru tadi si Ibu menghantar anak kecilnya yang dua, menolak basikal jaguar dengan carrier lebar yang sengaja dipasang untuk mengangkut anak-anak ke sekolah . Kenderaan yang sama sama terpaksa diguna, kerana itu sahaja yang ada. Disusunnya bakul-bakul berisi juadah jaja di atas basikal dengan dililit pengikat yang dibuat dari getah tiub basikal yang sudah tidak berguna dengan harapan juadah tidak terpelanting di perjalanan lorong tanah tidak rata, menyusur ke Hyper market tempat tujunya.

Berbekalkan Bismilah dan doa yang ada, si Ibu mengayuh kuat speda basikal dengan doa dan harapan agar juadah jajanya akan mendatangkan laba bagi menampung hidup diri serta anak yang bapanya sudah tiada.

Rumah usang ditinggal tanpa siapa, tanpa dimangga Ah ! keluh si Ibu . Siapa yang mahu masuk rumahnya. Kalau perompak pun mungkin ditinggalkan harta bendanya sendiri kerana berasa terhina.

Letih, jatuh harus bingkas bangun kerana jam 12 harus menyediakan makan tengahari untuk anak-anak. Hari ini mungkin masak sayur labu yang hidup subur menjalar liar di bawah rumah kerana sentiasa disirami air dari dapurnya. Ikan masin sepat goreng yang dibeli di kedai runcit nun jauh di simpang masuk ke rumah. Kalau lebih rezki, 3 biji telur dadar digoreng untuk santapan anak yang lima. Kadang-kadang si Ibu tidak sempat menjamah. Malah dia tidak mahu menjamah selagi telur dadar dihiris kecil puas dimakan setiap anak yang dilahirkannya.

Namun si Ibu sentiasa pasrah. Moga dikabulkan permintaan agar anak-anak berjaya. Solat dan doa tidak pernah ditinggal oleh diri dan anaknya. Takut-takut kalau Allah SWT menghimpit habis pintu rezkinya yang memang sudah hampir tiada.

Disatu Sabtu dihujung minggu dibanglo mewah, si Ibu , si Ayah dan anak-anaknya bergegas keluar menaiki pacuan empat roda Porsche Cayene. Hari ini mereka berasa lega.

Bersambung - Bhg 2


Antara Rumah Besar Mewah dan Pondok Lusuh di atas Tanah Tumpang - Bhg2

Disatu Sabtu dihujung minggu dibanglo mewah, si Ibu , si Ayah dan anak-anaknya bergegas keluar menaiki pacuan empat roda Porsche Cayene. Hari ini mereka berasa lega.

Dihari yang sama di rumah pondok , ibu tadi menumpang dagu memerhati anak-anak bermain bersama. Tiba-tiba bingkas bangun membetulkan atap rumah yang semalamnya ditelus air hujan lebat. Puas.

Tiba-tiba menderu bunyi enjin kereta menuju laju ke laman rumah. Terhenti sebentar degup nadi jantung siibu sebagaimana berhentinya kenderaan mewah yang beratnya hampir 2 tan dihadapan matanya.

Bergegas turun supir membuka pintu, terhegeh-hegeh mengangkat 2 beg 10 kilo beras basmathi , sekampit besar Milo, sedozen susu pekat, berbungkus tepung dan gula dan entah apa lagi dibawanya. Ah! Telur ayam sesarang buat kongsi si Ibu dan anak-anak yang daif ini. Melebihi sebulan untung laba jajanya.

Hampir 2 jam 2 keluarga bermesra sambil menghirup teh wangi yang bungkus berbalut merah. Teh murah yang tidak pernah dirasa, baginya lebih sedap daripada hidu asap cerut Havana, Cuba.

Anak-anak dibawah bermain. Dicelah rimbun pokok berduri. Lopak-lopak air hujan sengaja dihenyak-henyak. Menangguk ikan laga di pinggir telaga. Nyata masing-masing puas. Lebih puas daripada mandi di kolam renang rumah mewah yang kebersihannya sentiasa dijaga.

Sebelum pulang si Anak muda bertanya ibu ayahnya. Bila lagi mahu kesini? InsyaaLlah jawab si Ayah ringkas.

Dengan lafaz Assalamualaikum, sikeluarga kaya meninggalkan rumah pondok meninggalkan bau asap keretanya untuk hidu sekeluarga. Puas. Lebih puas menghidu udara sekitar rumahnya yang kadangkala menusuk busuk.

Lantas si Anak bertanya. Bila Uncle tu nak datang lagi?. Entahlah dengan lafaz ditarik panjang. Entah ini kali pertama dan ini kali terakhir itu fikirnya. Mungkin berkat doa si Ibu yang daif dan anak-anak yang mengharap, murah rezki dan dilindungi Allah keluarga kaya yang memberi tanpa niat mahu dibalas. Lain kali ada lagi.

Namun si Ibu sempat berpesan kepada anaknya. Belajar rajin, jadi anak yang pandai. Dapat gaji besar , boleh manabur budi. Taat perintah Allah dan jauhi larangan , agar sentiasa mendapat rahmatnya. Sentiasa berdoa agar dilindungi dan dilimpahi murah rezeki. Jangan lupa doakan arwah ayah kerana sudah terputus amalan kebajikannya melainkan permintaan anak yang sentiasa berdoa kesejahteraannya.

Di rumah pondok, keluarga kaya insaf. Bekalnya nanti, bakti yang ditabur untuk habuan anak yatim yang lama hilang kemewahan dan pelukan kasih sayang seorang ayah.

Saturday, August 2, 2008

Britain - Syarikat Insuran Berlandaskan Syariah

Britain's first sharia-compliant insurance company was launched on Monday, offering motoring policies in line with the Islamic legal code.

Salaam Halal insurance uses Takaful principles, whereby the risk is spread between all policy holders. In contrast, conventional insurance policies shift the risk from the policy holder to the insurance firm.

http://www.business24-7.ae/articles/2008/7/pages/britain'sfirstsharia-compliantinsurancefirmlaunched.aspx