Sunday, August 3, 2008

Antara Rumah Besar Mewah dan Pondok Lusuh di atas Tanah Tumpang - Bhg 1

Satu pagi Isnin, disebuah rumah mewah, si ayah duduk menyandar menikmati cerut Havana ditepi kolam mandi, menghidu udara pagi .Kadang-kadang kedinginan, angin pendingin udara dari bilik bersebelahan, yang pintunya sengaja dibiar renggang.

Disampingnya, si Ibu muda sibuk menyiapkan diri dengan pakaian dari sutera, kadang-kadang mengerlip, terkena cahaya mentari pagi dicelah-celah rimbun pokok bunga bourganvilla yang dihias rapi menyempadani pagar rumah.

Masing-masing sibuk . Si Ayah ingin bergegas ke tempat kerja bukan kerana tugas menimbun yang perlu diambil kira. Tetapi jam sepuluh ada temujanji di Royal Golf Club, yang keahliannya boleh membeli rumah teres kos sederhana dipinggiran kawasan rumah mewah berpagar.

Supirnya sibuk menyusun batang-batang golf ke dalam kenderaan pacuan 4 roda berjenama, kelu lidah bila ingin menyebutnya, kerana tidak biasa. Enjinnya sudah lama dihidupkan. Menderu angin sepoi dari pendingin udara semakin melembutkan tempat duduk bersampul kulit lembu jenis Obermain lader buatan Jerman.

Si Ibu mencapai beg tangan hitam bertompokkan warna perang muda, tersusun kemas huruf Gucci. Ditangan yang sebelah, sebingkas kunci kereta BMW 3 series yang pecutannya cukup mampu mengejar masa, walaupun temujanjinya sekitar jarak 12km hanya tinggal lima minit . Tetapi hari ini siibu sibuk untuk menghadiri mesyuarat NGO, untuk membincangkan program hujung minggu yang tamunya dari kerabat Raja.

Si Ayah dan si Ibu lega, kesemua anak warisnya 2 lelaki dan seorang perempuan sudah kesekolah . Semuanya diuruskan oleh seorang lagi pemandu yang juga tukang kebun, yang sentiasa perihatin mana saja pokok yang tidak mampu berbunga dek kekurangan baja. Sebentar akan tiba dengan MPV Alphard yang hampir hodoh rupa dan saiznya, dengan bekalan pasar buat sampai hujung minggu. Sudah menjadi rutin, selepas menghantar tuan-tuan muda, terus ke pasar memilih ration untuk juadah yang pasti membuka selera.

Pagar otomatik tertutup rapat , menjadi penghalang untuk memasuki rumah besar mewah yang temboknya dari batu granit tidak kikis yang sentiasa tampak mahal dengan kilaunya. Dindingnya dari batu sintetik halus disusun rapi menghiasi hampir separuh ketinggian rumahnya. Pintu , tingkapserta bingkainya dari kayu kelas satu yang ditempah dari sawmill kepunyaan rakannya.

Hebat. Berdiri tegap banglo besar 9 bilik yang penghuninya hanya lima, bertemankan pekerja yang mengambil upah meringankan beban kerja rumah siibu dan siayah.

Dihari dan waktu yang sama, di sebuah rumah pondok ,seorang ibu duduk berlutut mencuri nafas lega melepaskan lelah. Kadang-kadang terhidu bau busuk longgokan sampah dari longkang monsoon tersumbat yang menyempadani rumahnya.

Dengan pakaian lusuh tidak sempat kering keringat, kadang-kadang terhidu bau hapak yang bagi si Ibu sudah menjadi sebahgian udara yang menanggung keperluan gerak nadi jantungnya.

Baginya masa sangat berharga. Dengan tugas harian yang tidak pernah pupus dan lega, si Ibu menyediakan bungkus-bungkus nasi lemak serta kuih untuk berjaja, menumpang di kakilima sebuah hypermarket milik jutawan Perancis.

Untungnya, sekadar dapat membeli bekal makanan harian pagi hingga ke senja untuk santapan diri dan anak-anak yang lima. Baginya cukup puas, AlhamduliLlah..

Baru tadi si Ibu menghantar anak kecilnya yang dua, menolak basikal jaguar dengan carrier lebar yang sengaja dipasang untuk mengangkut anak-anak ke sekolah . Kenderaan yang sama sama terpaksa diguna, kerana itu sahaja yang ada. Disusunnya bakul-bakul berisi juadah jaja di atas basikal dengan dililit pengikat yang dibuat dari getah tiub basikal yang sudah tidak berguna dengan harapan juadah tidak terpelanting di perjalanan lorong tanah tidak rata, menyusur ke Hyper market tempat tujunya.

Berbekalkan Bismilah dan doa yang ada, si Ibu mengayuh kuat speda basikal dengan doa dan harapan agar juadah jajanya akan mendatangkan laba bagi menampung hidup diri serta anak yang bapanya sudah tiada.

Rumah usang ditinggal tanpa siapa, tanpa dimangga Ah ! keluh si Ibu . Siapa yang mahu masuk rumahnya. Kalau perompak pun mungkin ditinggalkan harta bendanya sendiri kerana berasa terhina.

Letih, jatuh harus bingkas bangun kerana jam 12 harus menyediakan makan tengahari untuk anak-anak. Hari ini mungkin masak sayur labu yang hidup subur menjalar liar di bawah rumah kerana sentiasa disirami air dari dapurnya. Ikan masin sepat goreng yang dibeli di kedai runcit nun jauh di simpang masuk ke rumah. Kalau lebih rezki, 3 biji telur dadar digoreng untuk santapan anak yang lima. Kadang-kadang si Ibu tidak sempat menjamah. Malah dia tidak mahu menjamah selagi telur dadar dihiris kecil puas dimakan setiap anak yang dilahirkannya.

Namun si Ibu sentiasa pasrah. Moga dikabulkan permintaan agar anak-anak berjaya. Solat dan doa tidak pernah ditinggal oleh diri dan anaknya. Takut-takut kalau Allah SWT menghimpit habis pintu rezkinya yang memang sudah hampir tiada.

Disatu Sabtu dihujung minggu dibanglo mewah, si Ibu , si Ayah dan anak-anaknya bergegas keluar menaiki pacuan empat roda Porsche Cayene. Hari ini mereka berasa lega.

Bersambung - Bhg 2


No comments: