Sunday, August 24, 2008

Kunjungan Johor Corp Memecah Kesunyian

Kebiasaannya, asrama Penempatan Anak-anak Yatim Nadwah - Permata Camar sibuk dengan kegiatan serta suara-suara anak-anak yang menghuni asrama tersebut. Kehadiran Permata Camar di tengah-tengah kampung Sri Chempaka, Penor, Kuantan, sedikit sebanyak mendatangkan keceriaan serta menambah kesibukan di kawasan kampung di pinggir kota metropolitan Kuantan, ini.

Pagi lebih awal bermula, dengan kedengaran suara gurauan anak-anak diselangseli suara orang mengaji sementara menunggu azan Subuh. Selepas menunaikan solat subuh secara berjemaah yang diimamkan oleh warden yang menjadi pengasuh anak-anak ini, masing-masing mencapai senaskhah al Quran membaca, menghafal dan memahami surah-surah agar dapat dibuat pedoman dan rujukan hidup selaku insan Muslim yang harus ada hati budi serta syaksiah yang tinggi untuk menaikkan mertabat harga diri, tunduk dan patuh sebagai hamba Illahi dan khalifah di muka bumi.

Namun tidak kurang juga yang tewas, terlintuk menyandar menampung dinding dan tiang-tiang kayu yang menjadi tunggak mussola sementara asrama Permata Camar. Mungkin malam tadi terlewat tidur .

Setelah siap berpakaian sekolah anak-anak ini berkesempatan mengambil sarapan sebagai pengalas perut dengan apa rezki yang ada, dari kurnia Illahi melalui sumbangan yang sentiasa mengunjung institusi kecil ini.

Sebelah petang selepas sekolah, anak-anak ini aktif bermain dengan pelbagai permaianan riadhah agar tubuh badan segar sihat serta minda mekar berkembang . Pokoknya sehari suntuk asrama Permata Camar dipenuhi aktiviti-aktiviti yang sentiasa menceriakan suasana persekitaran.

Berlainan pula dengan minggu yang baru lalu. Institusi kecil yang sentiasa mekar dengan keceriaan tiba-tiba sepi tanpa penghuni. Hampir seminggu asrama Permata Camar hilang ceria hilai ketawa sepi dari suara anak-anak. Azan yang berkumandang hampir setiap waktu solat, tidak kedengaran. Malah suara sayup kanak-kanak membaca al quran diwaktu pagi yang hening sudah tiada. Saat ini dirasakan kekosongan...

Rupa-rupanya kekosongan ini hanya sementara. Anak-anak Camar mula kembali ke asrama pada petang hari Jumaat. Keesokannya keriuhan mula terasa. Sekembali dari bercuti, penghuni asrama Permata Camar menyambung semula kehidupan rutin anak-anak Camar yang kasih sayang mereka banyak bergantung kepada warden-warden asrama atau ustaz-ustaz yang menjaga mereka. Kedatangan pelawat sedikit sebanyak menceriakan. Namun kasih sayang yang mereka perolehi tidak dapat menandingi kasih sayang yang kita luahkan kepada anak-anak kita sendiri.

Hidup menumpang kasih. Hanya Allah pelengkap sebagai penjaga anak-anak yang makan pakainya sekadar termampu tetapi daif dari penerimaan kasih sayang.

Pada petang Sabtu 23hb Ogos 2008, Permata Camar menerima kunjungan dari syarikat gergasi tempatan Johor Corporation. Sebuah konglomerat yang tidak asing lagi dipersada perniagaan di Malaysia, perniagaan syarikat tersebut termasuk di dalam bidang-bidang perladangan, aktiviti pengurusan pelaburan, industri berat, pembangunan dan pembinaan , perkhidmatan hospital dan perubatan dan bermacam-macam lagi.

Namun J Corp tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosial di dalam membantu menaikkan taraf hidup serta membantu ahli masyarakat yang memerlukan. Ini termasuk penglibatuan syarikat tersebut didalam menyediakan bantuan menubuhkan pusat hemodialisis, sekolah-sekolah agama rakyat, klinik masyarakat dan rumah anak yatim. ( sekadar membariskan sebahagian)

Kunjungan 15 orang wakil daripada J Corp,telah diketuai oleh Puan Norlaila Yahya, isteri kepada Ketua Pegawai Operasi (COO) serta beberapa ketua serta pengurus anak syarikat Johor Corporation sendiri.

Meskipun lawatannya agak singkat, kunjungan tersebut telah membawa seribu makna kepada pengurusan Permata Camar serta Badan Nadwah Islamiah Pahang. Meskipun kecil dana kewangan berbanding J Corp, dari segi sumbangan serta gerak kerja kebajikan, Nadwah berhasrat untuk bergerak setanding dengan syarikat gegasi ini. InsyaaLlah.

Tetamu telah diraikan dengan jamuan di akhir lawatan. Pengunjung juga telah sempat untuk bergambar serta bermesra dengan anak-anak Camar. Memecah kensunyian yang selama seminggu menyelubungi institusi ini.

No comments: