Monday, August 11, 2008

Bila Ahli Persatuan Buddha dan Gereja Katholik Lebih Berjurus

Misionari Kristian merupakan satu gerakan tersusun yang jalankan oleh pendakwah-pendakwahnya untuk memberi penerangan serta mengambil hati pendengar , agar akhirnya yang mendengar dapat ditakluki. Gerakan misionari ini telah dijalankan sejak berzaman lagi. Ia merupakan kesinambungan gerakan pendakwah kristian di dalam memenangi hati manusia seluruh dunia.

Meskipun gerakan missionari ini telah lama ujud (sejak selepas Jesus Christ) , pendekatan yang digunakan sentiasa diperbaharui mengikut perkembangan masa serta situasi. Penaklukan Portugis ke atas pemerintahan Kerajaan Melaka sebenarnya merupakan titik mula masuk pengaruh ini di Nusantara umumnya, serta Tanah Melayu khususnya.

Bibit pensekularan, memisahkan agama dengan persoalan hidup yang lain, menjadi agenda awal gerakan missionari ini untuk mempengaruhi masyarakat Melayu yang sebelum kemasukan Portugis amat bertaut rapat dengan nilai-nilai keIslaman.

Pengaruh Missionari ini bukan satu fenomena baru yang menghimbau orang-orang Melayu sehingga menimbulkan kegusaran yang amat, serta mendorong satu tindakan yang drastik secara tiba-tiba. Berita mengenai ramainya pemuda-pemudi Melayu yang ingin bertukar agama daripada agama Islam yang diwarisi secara kelahiran, merupakan buih-buih air bah, yang sedikit nampak diatas, tetapi yang dibawah yang tidak nampak dimata, lebih mengerunkan.

Tidak cukup dengan deklarasi bertukar agama ke Kristian, gejala murtad sebenarnya berlaku bukan hanya ke arah Doktrin Triniti , tuhan - 3 dalam satu, malah agama Hindu serta Budhha yang kita tahu gerakannya tidak aktif dikalangan masyarakat Melayu.

Adakah kita menyedari ataupun tidak, keghairahan pemuda-pemudi Melayu Islam untuk meninggalkan Islam sebenarnya adalah kerana kelemahan kita sendiri , berbanding dengan tarikan dari missionari agama lain . Pendidikan agama yang berterusan atau satu sistem Ta'dib yang tersusun sebenarnya sudah lama diabaikan secara sengaja ataupun tidak. Evolusi yang merungkaikan Ketauhidan Allah SWT daripada kandungan sistem pendidikan atas nama kemerdekaan, modenisasi dan industrialisasi kini menampakkan hasil yang menghiris hati-hati Umat Islam yang masih kuat berpegang kepada norma-norma Islam.

Cukuplah kalau kita ingin bicara soal merubah minda mengalih paradigma dengan berforum, berseminar, Multaqa atau muqabalah kalau sekadar menyusun kertas kerja, menghangguk kepala, berkerut dahi serta menyusun ayat mengindahkan resolusi, sekadar dijadikan latihan minda bukan untuk direalisasi.

Bukan bosan atau keciwa. Kerana Islam mengajar kita agar jangan cepat bersedih dan keciwa dangan kegagalan. Kita bangkit kita pertahankan. Tapi yang kita takut, kita hanya jadi bahan tertawa, Kita pandai mendabik dada tapi soal yang kecil pun tidak dapat terlaksana.

Nah dalam diam para misionari, pengusung kavadhi dan penganut amitabha Buddha menghampiri jiwa-jiwa yang mengharap belas dan simpati. Membuai semangat mereka-mereka yang uzur yang sentiasa menanti di rumah rumah sakit merupakan satu tindakan yang paling mudah. Dengan fizikal yang dikunjung hampir gagal fungsi serta sensitiviti emosi memerlukan dorongan, mengunjungi atau menziarahi jiwa-jiwa seperti ini memberi impak yang terkesan lagi dalam.

Tidak kairanlah gerakan misionari Kristian serta Budhha sering melakukan kunjungan-kunjungan ke hospital-hospital menziarahi pesakit atas nama kemanusiaan
dan rasa perihatin. Kerana mereka tahu dalam jiwa-jiwa yang kadang-kadang terasa kekosongan, dengan megorak senyuman serta bertanya khabar sudah cukup membuat pesakit
terhibur dan merasakan dirinya mendapat belas dan simpati.

Amat terkilan rasanya , bila ada usaha-usaha untuk kebajikan Umat Islam, tidak dapat dilaksana kerana tiada yang sanggup bersama.

Waima apapun alasan yang dicari untuk melepas diri, kita tidak terlepas dari tanggungjawab kita sebagai Umat Islam yang bersaudara ibarat dicubit peha kiri yang kanan pun terasa.

Amat malang rasanya jika kita Umat Islam yang berbekalkan pedoman al Quran dan pesanan RasuluLLah yang banyak menyuruh kita agar lebih perihatin terhadap insan-insan yang susah, miskin, tidak upaya dan kurang bernasib baik, tetapi yang melaksanakan adalah orang lain .

Marilah kita bersama-sama melaksanakan tanggungjawab kita. Menziarahi saudara-saudara kita yang terlantar sakit di hospital-hospital, mengajak rakan-rakan serta keluarga bersama . Cukuplah berbekalkan Air Mineral sebotol sebagai pembasah tekak agar pesakit dapat melembutkan lidah terus berzikir menyebut nama Allah. Beberapa biji kurma, agar pesakit terasa nikmat kemanisan kurma sebagaimana nikmat kemanisan Iman. Sebiji epal dan oren agar pesakit dapat merenung berfikir sejenak betapa hebatnya ciptaan dan Kekuasaan Allah.

Biarlah para missionari ini datang berbekalkan janji-janji serta habuan cenderahati yang mahal-mahal harganya. Kerana kita tidak mampu untuk menandingi mereka ,apatahlagi Islam tidak mengajar pengikutnya untuk membeli hati-hati manusia dengan wang ringgit serta habuan dunia.

Tetapi jangan sampai kita keciwa, bila mana ada orang Islam yang sanggup menggadai agama semata-mata kerana sekuntum senyuman yang tiada nilai harga. Cuma kerana mereka para missionari, pendukung kavadhi dan pengikut amitabha Buddha lebih berjurus daripada kita umat Islam yang hanya pandai berkata tetapi satu pun tidak ada.

Tahukah saudara, belum pun sempat saudara membaca habis tulisan ini, sekurang-kurang 1 orang Islam dari seluruh dunia sudah pun meninggalkan agama. Mungkin kerana hanya sekadar senyuman.

No comments: