Thursday, July 17, 2008

Budak MPK Yang Punya Harga Diri

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), merupakan antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menongkah nama . Meskipun sudah beberapa kali diurakan untuk dinaik taraf ke Bandaraya, usaha tersebut terpaksa ditangguh oleh kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.


MPK sebagai sebuah PBT yang berwibawa sering mendapat pengikirafan sebagai PBT yang berjaya meletakkan Kuantan sebagai Bandar paling bersih di Malaysia.


Jadi tidak hairanlah kalau MPK menggajikan kakitangan-kakitangan yang ramai didalam misi menjadikan Kuantan sebagai Bandaraya satu hari nanti.


Ditengah-tengah ratusan kakitangan MPK baik yang berkolar putih mahupun buruh yang menyorong kenderaan roda tiga mencuci kaki lima, tidak sedikit yang menyerlah. Masing-masing didalam bidangnya. Attendan letak kereta yang tidak kenal erti penat lelah, pegawai pembangunan yang dedikasinya tidak kita ragui, penguatkuasa yang tahu batas-batas gagasan kuasanya sehinggalah ke Yang di Pertua yang sentiasa tegas walaupun dalam senyumnya.


Namun tidak banyak yang sanggup bersingsing lengan ke tengah payah hidup masyarakat mengabadikan masa terluang , menyeret capal berlindungkan jubah dan kepiah lekap dikepala dari satu surau ke satu surau bermuzakarah dan menganjurkan wacana ilmu. Berbincang dan mesyuarat dari agenda ke agenda kekerapannya mengalahkan sembahyang lima waktu. Mendokong satu gagasan atas nama NGO (non government organization) yang bermotifkan dakwah bukan sebagai pengikut yang hanya “Kami Dengar dan Kami Taat” tetapi sebagai pemimpin nombor satu.


Meskipun Nadwah atau Badan Nadwah Islamiah Pahang, hanya mempunyai keahlian yang kecil ( lebih kurang 146 ahli ) hendak disuruh menyorong mengalihkan bangunan buruk pun belum tentu mampu, namun sumbangan Badan Dakwah yang “non partisan” ini kepada masyarakat Islam Pahang tidak sedikit.


Mungkin dengan kekuatan kewangan tanpa batas sebagaimana yang ada pada Vincent Tan, Ananda Krishnan dan Tun Daim apa yang dilakukan oleh Nadwah ini semacam percisan aktiviti konglomerat mereka, namun saya percaya ,Vincent Tan, Ananda Krisnan dan Tun Daim mungkin hanya dapat membina kekuatan ini dengan menabur imbuhan kepada kakitangannya. Tanpa imbuhan ini bagaimana?


Nadwah bergerak atas kesedaran keIslaman dan rasa keperihatinan serta tanggung jawab sebagai Khalifah dimuka bumi yang asalnya diamanahkan kepada langit, bumi dan bukit bukau. Hanya mengharap simpatis Allah SWT, insyaaLlah. Mengembeling tenaga 146 ahli menyedarkan dan menggerakan masyarakat, mengutip lebihan duit derma, merapatkan saf perjuangan dan menghimpun semangat islah menuju wawasan Islam .


Semuanya khidmat diberi percuma yang tiada pimpinan konglomerat boleh jual beli. Biar banyak manapun saham syarikat tersenarai diBSKL digadai janji sebagai pertaruhan harga diri.


Namun pengorbanan tidak sedikit. Keikhlasan yang dicari . Hanya balasan yang Khaliq sebagai janji jual beli.


Semuanya tidak mungkin berlaku, kalau kita Umat Islam tidak dapat menghargai, bersama-sama mengharungi saf-saf yang telah sedia berdiri atas nama Nadwah dengan pimpinan yang ada ataupun silih berganti. Terimalah bakti kami walaupun yang menjadi pemimpin nombor satu kami, Hanyalah Budak MPK.. tetapi punya Harga Diri.




* Tuan Haji Badrul Huzaini, merupakan Presiden , Badan Nadwah Islamiah Pahang . Beliau buat masa ini berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Kuantan.

** Pengarang tidak berhasrat untuk membuat promosi yang eksesif terhadap pimpinan serta organisasi Nadwah itu sendiri apatahlagi pengarang juga merupakan salah seorang AJK Nadwah, tetapi pengarang rasa terpanggil untuk memberi gambaran dari isi hati sendiri kerana terdengar beberapa kali komen sinis mengatakan “Presiden Nadwah tu budak MPK .”

***Pengarang tidak bertujuan untuk mengampu Presiden Nadwah kerana pengarang tahu pengarang tidak akan dapat apa-apa darinya melainkan tujuk ajar dan teguran.



No comments: