Monday, July 7, 2008

Yang Menyerang dan diTawan

Waima apapun niat tentera Amerika memberi sumbangan kepada beberapa sekolah serta organisasi di Malaysia, kunjungan 20 orang perajurit Amerika dari pasukan Marine Corp dan Naval Squadnya yang diketuai oleh Lt Commander Cox ke Permata Camar telah memeriahkan lagi suasana sedia ada di asrama tersebut.


Walaupun dengan langkah kawalan keselamatan yang agak ketat, diawasi askar-askar tempatan yang serba lengkap dari segi persenjataan, keintiman perajurit Amerika yang rata-rata masih muda dengan anak-anak Permata Camar tampak jelas.


Meskipun pada mulanya, Permata Camar agak ragu untuk menerima kunjungan orang-orang luar yang berlainan warna kulit dan pegangan agama, apatahlagi dari sekumpulan manusia yang sering dicemuh sebagai kumpulan insan berhati keras yang sentiasa prejudis terhadap umat Islam, Camar mengambil pendirian bahawa kesalah fahaman mereka terhadap Islam harus digarapi secara berdepan. Berhujah dan meyakinkan . Bukan dengan cara meminggir dan membiarkan kebencian terus menebal


Kunjungan yang dibuat pada pagi Sabtu 5hb Julai 2008, meskipun agak ringkas serta singkat, pengunjung sempat beramah mesra serta bermain dengan anak-anak Camar. Malah yang lebih meyakinkan, kesemua yang berkunjung walaupun tanpa pakaian seragam tenteranya, telah memakai kemeja T dengan seluar pendek yang labuhnya melebihi paras lutut.


Apakah ianya satu kebetulan? Walaupun semuanya berlaku dengan kehendak Allah, melihat gelagat mereka semasa di Permata Camar, nyata mereka menunjukkan rasa hormat terhadap satu institusi yang meletakkan Islam secara jelas pegangan serta ikutan, meskipun Permata Camar bagi mereka hanyalah sebuah tempat perlindungan anak-anak miskin yang sentiasa mengharap.


Soalan yang diajukan bukan sekadar berkenaan Permata Camar, malah lebih luas lagi mencakupi persolan aurat , hak-hak asasi dan pegangan agama serta jihad dan peperangan . Nyata pengetahuan mereka terhadap Islam tidak terhad. Pengalaman di Iraq serta Negara Umat Islam yang lain sebenarnya banyak menimbulkan persolan yang mereka ghairah ingin tahu. Nyata Islam tidak sehina yang dikhabarkan didalam dada-dada media mereka.


Ingatkah kita pada peristiwa kaum Tartar Mongolia yang menyerang Baghdad pada ketika ia menjadi sebuah pusat menimba ilmu yang unggul pada zaman itu. Bukankah tentera Tartar inilah yang menghancur habiskan khazanah ilmu Islam yang terkumpul sejak zaman selepas kewafatan RasuluLlah SAW. Sehingga habis mengalir hitam air sungai Tigris akbibat turunnya tinta-tinta tulisan dari buku yang dihumban kedalamya.


Tiada didalam sejarah tentera yang lebih digeruni bengisnya melainkan tentera Mongolia yang tidak berjiwa dan berhati perut. Tetapi akhirnya sujud merafak sembah menjadi hamba setia setelah berpaling daripada kesesatan penyembahan animisma kepada Tuhan yang Esa. Akhirnnya Baghdad menjadi sebuah pemerintahan Islam yang disegani didukung oleh orang yang pernah menghancurkannya .


Kemuliaan peribadi umat Islam di Baghdad. Ketegasan mereka melaksanakan perintah Islam walaupun disergah dan ditegah, serta keadilan yang dapat ditegak melalui hukum Allah menjadi pendorong kepada tentera bengis Mongolia sehingga merubah serta terongrong dasar pemikirannya untuk meninggalkan kegelapan animisma kepada cahaya Ilahi.


Dengan cabaran hidup, kebejatan masalah sosial, tiada ketenangan jiwa, tidak berpedoman dan sentiasa didalam kekeliruan dan hiburan serta berpeleseran sebagai serapah serta ubat kepada penyakit jiwa serabut mereka, apakah anda rasa tentera Amerika ini lebih bengis dan sadis daripada tentera Tartar Mongolia?


Apakah yang menyerang ini nanti, dapat kita tawan ?

No comments: