Saturday, July 26, 2008

Kisah Dari Sebuah Rumah Usang

Buat masa ini, Penempatan Anak-anak Yatim Nadwah – Permata Camar, memberi perlindungan kepada 30 orang anak-anak yatim dan miskin dari sekitar Pahang. Meskipun demikian , hanya 22 orang yang menginap sepenuh masa di asrama Permata Camar. 6 orang anak-anak bersekolah disekolah asrama penuh , manakala 2 orang lagi kekal tinggal bersama keluarga .

Badan Nadwah Islamiah Pahang (Nadwah) berhasrat untuk membina asrama tambahan bagi menampung keperluan pengambilan pelajar baru . Menurut perancangan awal, kita berhasrat untuk menempatkan sekurang-kurangnya 40 orang bagi tahun 2009. Walaubagaimanapun jangkaan ini semacam tidak dapat dipenuhi akibat daripada kekurangan sumbangan yang diterima yang memungkinkan hasrat ini dicapai.

Meskipun demikian, untuk tidak mengeciwakan permohonan ibu-ibu yang terdesak, Permata Camar mengambil pendekatan menghulurkan bantuan bulanan yang berterusan kepada anak-anak yang memerlukan pembelaan.

Baru-baru ini Nadwah telah memutuskan untuk mengambil 2 orang anak dari keluarga miskin yang hilang tempat bergantung, apabila si ayah meninggal dunia akibat sakit . Meninggalkan seorang balu serta 4 orang anak kecil, Nadwah rasa terpanggil untuk memberi pembelaan sewajarnya, namun malang bagi anak-anak miskin ini apabila permohonan kemasukan ke asrama terpaksa ditolak disebabkan tempat yang sudah tidak mampu menampung tambahan.

Dengan rasa hiba kita terpaksa menerima hakikat kekurangan ini. Namun bagi mengurangkan beban si ibu yang hanya berpendapatan tidak sampai RM300 hasil dari jaja kuihnya, Nadwah memutuskan untuk memberi sumbangan tunai sebanyak RM200 sebulan. Meskipun angka tersebut belum tentu dapat menyelesaikan masalah si ibu yang dirundung masalah membesarkan anak, sekurang-kurangnya meringankan beban, menambah kekerapan santapan serta menegakkan tiang-tiang sengit rumah kayunya yang sudah usang sekadar melindungi keluarga ini dari kebasahan hujan dan kekeringan panas terik matahari. Sampai bila, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Nadwah menjadikan tanggungjawab, untuk menziarahi keluarga ini dari masa ke semasa. Kalau ada sumbangan beras gula serta keperluan harian yang diterima, kami pastikan keluarga ini tidak dilupakan. Biarpun belanja minyak untuk menghantar menjadi perkiraan, namun yang lebih utama , keluarga ini dapat diberi makan pakai secukupnya untuk memastikan si ibu terus dapat berdiri bangun, membanting tulang empat kerat mencari sumber rezeki yang lain untuk diagihkan kepada anak yang sentiasa mengharap.

Baru-baru ini ditakdirkan asrama Permata Camar menerima sumbangan beras gula serta biskut daripada hamba-hamba Allah yang sentiasa mengintai peluang untuk berbakti.

Menjadi kebiasaan, sebahagian sumbangan ini dihantar ke kelurga 5 beranak ini. Pegawai-pegawai dari Nadwah agak terkejut apabila melihat salah seorang anak tersebut ditumbuhi kudis dan nanah dikepala . Nyata belum mendapat rawatan apa-apa. Si ibu memberitahu anaknya telah mengalami demam panas selama lima hari. Pegawai kami telah membawa sianak ke Kelinik Rawatan Al Amin milik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang, kebetulan penal klinik bagi kesemua anak-anak camar.

Oleh kerana tidak sanggup untuk menyusahkan orang lain, si ibu tidak pernah menghubungi kami, takut-takut kalau menggangu kerja-kerja kami. Bagaimana kalau si anak ini penyakitnya kritikal?

Mungkin jika kita tidak terlalu asyik dengan masalah kita semata-mata, melayani kerenah anak isteri yang tidak pernah lekang dari penglihatan mata , ditengah-tengah kesibukan melapangkan masa menziarahi Rumah Usang di belakang Hyper Market Giant, Tanah Putih, Kuantan atau mana-mana rumah usang yang menjadi sebahagian masyarakat kita, mungkin sebagaimana anak kita, sianak kecil ini kudisnya tidak sampai menanah.


No comments: